Tuesday, January 1, 2013

PENUBUHAN AWAL

PENUBUHAN AWAL



Pada tahun 1930 Kerajaan Inggeris yang memerintah Kelantan mendirikan sebuah Sekolah Melayu di Tebing Tinggi. Pada awal penubuhan Sekolah Melayu ini tidak mendapat  sambutan dari masyarakat  tempatan. Keadaan ini disebabkan oleh  jarak sekolah dengan perkampungan terlalu jauh dan disamping itu masyarakat di sini juga beranggapan bahawa matapelajaran yang diajar disekolah Melayu ini mengandungi pelajaran kafir. Oleh itu masyarakat di sini menganggap bahawa Sekolah Melayu ialah sekolah kafir. Jesteru itu ibu bapa tidak mahu menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah ini.


Bagi mengatasi masalah ini kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang tertentu iaitu memasukkan pembacaan al-Quran sebagai salah satu matapelajaran. Namun begitu sekolah Melayu masih lagi tidak mendapat sambutan, akhirnya sekolah Melayu ini dipindahkan ke Kampung Jerimbong kerana tapak sekolah di Tebing Tinggi ini jauh dari kampung. Setelah kampung baru dibuka iaitu kampung Bukit Jering, sekolah ini sekali lagi dipindahkan ke kampung Bukit Jering sehingga kini. Setelah sekolah Melayu dipindahkan  ke kampung Bukit Jering, bangunan sekolah Melayu ini masih lagi berada dalam keadaan baik dan teratur. Sekolah ini dibina diatas tapak seluas 5 ekar dengan mempunyai bangunan sekolah yang mempunyai empat bilik dan dua buah rumah guru.


Bangunan yang terbiar ini telah menimbulkan ilham kepada individu tertentu untuk memanfaatkannya. Individu-individu ini mangambil contoh dari sekolah Melayu untuk menubuhkan Madrasah, antara tokoh-tokoh yang berusaha untuk menubuhkan madrasah ini ialah Haji Mat Lazim dan Tok Musa. Mereka membawa perkara ini kepada Tuan Yusof Beng iaitu pengasas Pengurus Ladang Getah Lembah Pergau,  dengan bantuan yang diberikan Tuan Yusof maka terbentuklah satu jawatan kuasa penaja yang telah membawa perkara ini ke Pejabat Daerah Kuala Krai dan mendapat persetujuan secara lisan. Penubuhan madrasah ini mendapat kebenaran daripada Majlis Agama Islam Kelantan pada tahun 1957.



Tujuan madrasah ini ditubuhkan adalah meliputi bidang keagamaan dan kemasyarakatan antaranya ialah memberi pelajaran agama islam kepada anak-anak kaum muslimin seluruhnya dan yang khas kepada penduduk tempatan. Seterusnya untuk melatih dan mengasuh anak-anak agar berakhlak mulia di sisi agama Islam dan mengerjakan amalan-amalan ibadat pada Tuhan dengan sempurna serta taat kepada ibu bapa seperti yang dikehendaki oleh agama Islam. Madrasah ini ditubuhkan juga untuk menyemai semangat mencintai agama, bangsa, tanahair serta untuk melatih kanak-kanak manjadi pemimpin bagi masyarakat.


No comments:

Post a Comment

INTRO SEKOLAH