Perkembangan Pendidikan Agama.
Membaca Al Quran
Tiada satu pun pusat pengajian Al-Quran di kampung ini pada
awalnya melainkan ianya diajar oleh ibubapa masing-masing. Mereka mengajar
perkara-perkara yang diketahui berupa pengetahuan asas agama dan bacaan
Al-Quran. Pada masa itu tiada palajaran tulisan yang diajarkan kepada
anak-anak. Mereka hanya diajar mengenal huruf-huruf dalam Al-Quran dan
menghafalnya. Ini dilakukan oleh ibubapa bagi menunaikan tanggungjawab mereka
terhadap anak-anak.
Pendidikan di rumah ini akhirnya mengalami perubahan akibat
daripada kemasukan unsur-unsur pendidikan dari luar. Diantara masyarakat
kampung, ada di antara mereka yang ingin berkhidmat untuk mengajar mengaji Al
Quran kepada kanak-kanak tempatan, kerana itu munculnya kelas-kelas mengaji Al
Quran. Keadaan ini tentunya meringankan ibubapa dalam mengajar anak-anak untuk
membaca Al Quran, tambahan pula mereka selalu kepenatan selepas bekerja berat
pada waktu siang. Kelas-kelas membaca Al Quran ini diadakan di umah-rumah guru.
Hanya pelajaran membaca Al Quran sahaja diajarkan manakala pelajaran lain masih
lagi menjadi tugas ibubapa.
Pelajaran diadakan setiap hari kecuali hari Jumaat.Terdapat
tiga sesi pengajian iaitu pada waktu pagi, petang dan malam. Bilangan pelajar
setiap kelas tidaklah ramai iaitu antara 20-30 orang ini. Umur kanak-kanak yang
mengikuti pelajaran ini adalah diantara 7-20 tahun. Mereka mula belajar dari
Muqaddam dan menitikberatkan soal-soal ejaan dan kelancaran membaca.
Kanak-kanak yang telah tamat pengajian mereka biasanya akan mengadakan Majlis
Khatam Al-Quran. Majlis khatam ini biasanya dilakukan dengan membawa ayam
panggang dan buah-buahan ke rumah guru bagi mengesahkan yang seseorang itu
telah lulus atau tamat membaca Al Quran dan tiada sebarang bayaran yang
dikenakan atas usaha tersebut.
Pelajaran Fardu Ain.
Kelantan yang terkenal sebagai pusat agama Islam pada awal
kurun ke-20 dan ramai tokoh-tokoh ulama dilahirkan pada masa ini. Justeru itu
terdapat penduduk tempatan yang pergi belajar ilmu agama dengan tokoh-tokoh
ulama’ ini di pondok-pondok di Kota Bharu dan lain-lain tempat. Sekembalinya
mereka ke kampung, mereka yang berkebolehan telah mengambil inisiatif mengajar
ilmu-ilmu keagamaan yang telah di perolehi. Hasilnya, dari sokongan dan
kehendak penduduk tempatan mereka mula mengajar di surau dan tidak lagi di
rumah. Pada peringkat permulaannya mereka hanya mengajar pada orang-orang
dewasa atau ibubapa disebelah malam iaitu satu atau dua kali dalam seminggu.
Antara guru-gurunya yang terkenal iaitu Tok Ma’arif dan Haji Mat Lazim.
Pelajaran yang diberikan mulai berubah di samping mengajar
membaca Al Quran. Kanak-kanak juga diajarkan perkara-perkara Fardu Ain.
Perkara-perkara ini meliputi pelajaran-pelajaran asas Tauhid, Feqah dan
cara-cara sembahyang. Pada masa ini kanak-kanak belum lagi diajar menulis tapi
hanya mendengar syarahan yang disampaikan oleh guru mereka.
Sistem pendidikan baru ini tidaklah menjejaskan pengajian Al
Quran. Ini kerana pengajarannya hanya satu atau dua kali dalam seminggu. Pada
waktu-waktu yang lain kanak-kanak boleh belajar mengaji Al Quran. Tambahan pula
kanak-kanak perempuan jarang mengikuti kelas tersebut kerana ibubapa
beranggapan bahawa kanak-kanak perempuan tidak perlu belajar lebih mendalam
sebab mereka tetap menjadi surirumah juga.
Ceramah
Sebelum tertubuhnya Madrasah ini, penduduk kampung ini juga
mendapat pelajaran agama melalui ceramah-ceramah agama yang diadakan.
Penceramah-penceramah ini dijemput dari luar terutama dari Kota Bharu dan
Patani (Selatan Thai). Penceramah ini diundang khas untuk memeriahkan “majlis makan
beras baru”. Majlis ini diadakan secara besar-besaran di mana dua atau tiga
penceramah telah diundang untuk memberikan ceramah agama.
Untuk menyediakan majlis ini, penduduk kampung ini secara
gotong-royong akan mengadakan kenduri dengan menyembelih lembu dan mengadakan
pentas khas untuk penceramah. Majlis ini dimulakan selepas sembahyang Maghrib
dan selesai menjelang tengah malam.
Majlis ceramah juga diadakan apabila tiba hari kebesaran
Islam seperti Awal Muharam, Maulud Nabi dan lain-lain. Majlis seumpama ini
telah memberikan penduduk semangat dan asas pelajaran Agama Islam. Ini terbukti
melalui sikap mereka terhadap tertubuhnya Madrasah dengan sokongan yang tidak
berbelah bagi untuk memaju dan memperkembangkan Agama Islam di kawasan ini.
No comments:
Post a Comment